Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Foto SELANGORKINI
NASIONAL

Cadang tingkat penalti salah guna permit niaga

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Peniaga tempatan yang menyalahgunakan permit perniagaan kecil dengan mengupah warga asing menjalankan perniagaan akan dikenakan hukuman lebih tinggi, kata Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, hukuman itu akan ditingkatkan
berbanding penalti maksimum sehingga RM2,000 dan penjara satu tahun ketika ini, di bawah cadangan pindaan Seksyen 104 Undang-undang Kecil Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“KPKT sudah mengeluarkan Pekeliling Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil oleh Pihak Berkuasa Tempatan pada 2008 yang menyatakan warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan kecil menggunakan lesen milik penduduk tempatan, namun masih ada peniaga tempatan yang berdegil dan salah guna lesen ini.

“Kerajaan akan semak kembali Seksyen 104 untuk tingkatkan denda maksimum sedia ada supaya ia menjadi pencegah kepada peniaga tempatan.

“Pemilik permit perlu berada di tempat perniagaannya sendiri dan bukannya mengupah warga negara asing untuk menjalankan perniagaan mereka yang mana ini salah di sisi undang-undang,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang bertanya apakah usaha kerajaan dalam menangani isu warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah atau menyewa atau meminjam lesen rakyat tempatan untuk berniaga.

-BERNAMA


Pengarang :