NASIONAL

Cadangan hapus tol diserah kepada Kabinet Jun ini

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kementerian Kerja Raya akan menyerahkan semua cadangan berkaitan tol termasuk cadangan penghapusan kutipan tol kepada kabinet, pada Jun ini.

Timbalan Menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata kementerian telah melantik perunding audit bebas bagi membantu menganalisis data dan cadangan berkaitan perkara berkaitan.

“Konsultan audit bebas ini akan mencadangkan semua cadangan kepada kerajaan berhubung isu tol, penghapusan dan sebagainya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuat suntikan kewangan kepada Syarikat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai langkah menghapuskan kadar tol di lebuh raya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Hasan yang ingin tahu mengenai kos pembinaan Lebuhraya Utara- Selatan, Mohd Anuar berkata ia mencecah lebih RM5.9 bilion dengan tempoh konsesi semua lebuh raya bawah PLUS dilanjutkan 20 tahun kepada 2038. -BERNAMA


Pengarang :