SUKANKINI

Cub Prix: Kami perlu sedikit tuah – Fazrul

SHAH ALAM, 10 APR: Ahmad Fazrul Sham percaya sedikit tuah mampu membawa pasukan, AHM Motorsports Yamaha Racing menjejakkan kaki di atas podium kategori CP150 pada saingan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, 13 dan 14 April ini.

Barisan pelumba AHM Motorsports Yamaha Racing mempamer aksi memberangsangkan apabila Fazrul berjaya menamatkan saingan di kedudukan kelima manakala pelumba rookie, Md Shahzul Naim Razali di kedudukan ke-11.

Malang buat Md Iqbal Amri Malek yang sebelum itu melakukan kejutan apabila berjaya meraih petak mula di kedudukan pertama setelah muncul pelumba terpantas sesi kelayakan Superpole apabila terjatuh seawal pusingan kedua perlumbaan akhir yang dimenangi Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.

Fazrul, juara CP130 pada 2015, berkata, diharap sedikit tuah dan nasib baik akan membantu pasukan untuk menaiki podium pada minggu ini.

“Kami mempamer aksi di luar jangkaan sewaktu di Jasin, namun nasib tidak begitu menyebelahi setelah Iqbal terjatuh manakala saya pula mengalami sedikit masalah ketika sesi kelayakan.

“Jentera kami sangat baik. Saya berada di kelompok lima pelumba terbaik dalam setiap sesi di Jasin selain sesi kelayakan, jadi saya yakin kami akan kekal memberikan cabaran di Batu Kawan minggu ini,” katanya yang pernah memenangi perlumbaan di Batu Kawan pada 2008.


Pengarang :