SUKANKINI

Cub Prix: Litar Batu Kawan ujian sebenar Honda

SHAH ALAM, 12 APR: Naib juara CP150 pusingan pembukaan di Jasin, Md Helmi Azman menjelaskan litar Batu Kawan sebagai venue pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS minggu ini menjadi medan ujian sebenar bagi membuktikan keupayaan jentera Honda pada musim 2019.

Pelumba Hi Rev SCK Honda Racing itu menjelaskan penguasaan tiga pelumba Honda di Jasin tempoh hari banyak dibantu faktor litar yang dilihat memberi kelebihan untuk mereka memaksimumkan keupayaan jentera.

Helmi berkata, kalau diperhatikan sewaktu di Jasin, walaupun laluan lurus hanya 159 meter berbanding di Batu Kawan yang mempunyai jarak 293 meter namun sudut selekoh kedua-dua litar ini agak berbeza.

“Sudut selekoh di Jasin agak lebar dan laju, jadi ia banyak memberi kelebihan kepada kami untuk mengekalkan kelajuan namun sedikit berbeza di Batu Kawan yang lebih teknikal.

“Di sini, sudut selekoh lebih kecil terutama di laluan ‘S’ dan terdapat bulatan yang akan memperlahankan kelajuan jentera serta pada masa sama memerlukan jentera kami untuk memberi tindak balas yang lebih tangkas berbanding jentera Yamaha,” kata juara Underbone 150cc Asia 2018 itu.

Helmi berkata, jika diperhati pada musim lalu, jentera Yamaha mempunyai banyak kelebihan di litar teknikal seperti di Batu Kawan.

“Maka sebab itu perlumbaan minggu ini sangat penting dan menjadi medan ujian sebenar untuk kami mengukur prestasi jentera bagi menghadapi pusingan akan datang,” katanya yang sekali lagi meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan di atas podium.


Pengarang :