NASIONALSUKANKINI

Cub Prix: Rozaiman yakin mampu bersaing

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 9 APR: Pelumba Cilik RCB Motorsport, Mohd Rozaiman Md Said bersedia tampil dengan aksi terbaik pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di lamannya sendiri, Batu Kawan, Pulau Pinang pada 13 dan 14 April ini.

Meskipun beralih ke pasukan baharu pada saingan musim 2019 ini, beliau yakin Cilik RCB Motorsport mampu memberikan cabaran kepada pasukan yang lebih besar dan berpengalaman.

Katanya, meskipun banyak kekurangan dalam pasukan baharu, namun dengan pengalaman dan kerja keras seluruh pasukan beliau yakin kuasa jenteranya akan terus meningkat.

“Perlumbaan di Jasin sebelum ini, jentera kami mempunyai sedikit masalah dan kami mengenalpasti kelemahan tersebut. Selepas melakukan perubahan dan ujian, jentera kami menunjukkan banyak peningkatan dan saya berharap keupayaan jentera akan bertambah baik sewaktu minggu perlumbaan nanti.

“Saya menetapkan untuk layak ke Superpole bagi mencari petak mula yang terbaik. Tahun lalu saya menamatkan saingan di kedudukan ke-15, dan minggu ini saya berharap dapat meraih keputusan membanggakan,” katanya selepas menamatkan perlumbaan pusingan pembukaan di Jasin, Melaka.

Beliau yang pernah bergelar naib juara keseluruhan CP115 2010 itu turut menyifakan seluruh pasukannya senang memberikan kerjasama bagi membantu mereka beraksi dengan lebih baik.


Pengarang :