SELANGOR

Daging itik halal Malaysia laris di luar negara

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LUMPUR, 4 APR: Daging itik halal dari Malaysia mendapat sambutan luar biasa khususnya dari Jepun, Brunei dan Indonesia.

Pegawai Halal Eksekutif PG Lean Hwa Trading Sdn Bhd, Hafizuddeen Mohd Napiah berkata, secara puratanya lebih 120 tan metrik daging itik dieksport ke negara berkenaan, dalam tempoh setahun.

Namun sebaliknya, permintaan daging itik kurang mendapat sambutan di negara ini.

“Ini kerana, masih ramai yang ragu-ragu dengan status halal daging berkenaan, sedangkan kualiti daging itik jauh lebih baik berbanding daging ayam dan lembu.

“Justeru, kami menggunakan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 sebagai landasan terbaik bagi mengubah persepsi masyarakat terutama umat Islam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Hafizuddeen berkata, PG Lean Hwa Trading Sdn Bhd adalah syarikat pembekal itik mentah bertempat di Pulau Pinang yang beroperasi selama 20 tahun dan mendapat status persijilan halal sejak 15 tahun lalu.

Katanya, pihaknya turut membuka peluang kepada golongan belia untuk menjadi usahawan pembekal daging itik halal.

“Kami komited mendidik masyarakat khususnya umat Islam untuk lebih mendalami isu-isu status halal.

“Saya berharap, melalui program ini masyarakat lebih celik dan peka manfaat daging itik,” katanya.


Pengarang :