BERITA UTAMA NASIONAL

Dari Agrobazaar ke Agromall

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 18 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) maju setapak lagi dalam usaha memasarkan produk agromakanan dengan membangunkan Agromall, sebuah pasar raya moden khas bagi tujuan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, FAMA sebelum ini berjaya memperkenalkan pasar tani dan Agrobazaar Rakyat sehingga menjadi terkenal.

“Bermula dengan pasar tani, kemudian Agrobazaar dan kini FAMA melangkah lebih jauh dengan pembinaan Agromall pula.

“Kita bina Agromall yang ini dahulu dan selepas siap saya tak nampak sebarang sebab kenapa kita tidak boleh bina Agromall seperti ini di bandar utama seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong di Pusat Operasi FAMA Puchong, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, selain pasar tani dan Agrobazaar, FAMA juga berjaya memajukan kaedah pemasaran dalam talian.

Pada masa sama, katanya, Agromall itu akan menjadi mercu tanda baharu kepada pencapaian FAMA memasarkan agromakanan negara.

“Pasar raya ini juga akan menjadi alternatif kepada pengusaha produk agromakanan memasarkan produk masing-masing,” katanya.


Pengarang :