BERITA UTAMASELANGOR

Dasar Air Percuma kekal, MB umum butiran lanjut Jun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Rakyat Selangor terus menikmati Skim Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma bagi tahun 2019, kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berkata, pengumuman rasmi dengan beberapa butiran lanjut berhubung perkara itu akan dilakukan pada Jun.

“Pemberian air percuma tahun ini kekal 20 meter padu, kita tak ubah, semua orang dapat 20 meter padu tetapi kita akan umumkan beberapa perkara yang berkaitan pengurusan air tetapi satu perkara saya nak beritahu kekal 20 meter padu pada 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama YAB Menteri Besar dan EXCO Negeri Selangor Ke Daerah Kuala Selangor di Dewan Raja Lumu, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor di sini, hari ini.

Menyentuh pelaksanaan penjajaran Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), Amirudin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan hanya golongan yang layak menerima manfaat skim disediakan Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Amirudin meluangkan masa hampir lebih satu jam bagi menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh pemimpin tempatan di Kuala Selangor.

Antara soalan dikemukakan termasuk berkaitan isu jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), isu sampah, kelip-kelip Kampung Kuantan, Sky Mirror dan lain-lain.


Pengarang :