SELANGOR

Dawari, Zailani ungguli Anugerah Khas YDP MPK

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 20 APRIL: Pantas bertindak terhadap aduan persekitaran dikemukakan penduduk, selain pengurusan sisa pepejal dengan baik berjaya melonjakkan nama Dawari Daud sebagai salah seorang penerima Anugerah Khas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), malam tadi.

Pengarah Perkhidmatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Persekitaran MPK itu antara lapan penerima yang merangkul anugerah berkenaan dalam satu majlis diadakan di Dewan Hamzah, di sini.

Beliau ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana tidak menyangka pihak pengurusan MPK memilihnya sebagai penerima anugerah terbabit.

Berkongsi kisah di sebalik kejayaan itu, Dawari, 53, berkata walaupun pengurusan sisa pepejal diserahkan kepada KDEB Waste Management, namun beliau masih memantau operasi kontraktor dilantik melalui pemantauan secara efektif.

“Sepanjang berkhidmat di MPK selama 23 tahun, saya terbabit secara langsung untuk kerja pembersihan di seluruh Klang.

“Harapan saya supaya menjelang 2020, daerah Klang bebas daripada sampah longgok dan memastikan kebersihan persekitaran berada pada tahap terbaik.

“Kita akan cuba tingkatkan sebaik mungkin dan berusaha mewujudkan kesedaran kepada rakyat Klang berhubung kepentingan menjaga kebersihan,” katanya yang mula berkhidmat di pihak berkuasa tempatan itu sejak 1996.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Zailani Banot, turut mengungguli anugerah berkenaan selepas menggalas peranan sebagai fasilitator yang banyak memberi galakan dalam mengembangkan potensi inovasi di MPK.

Selain sikap keterbukaan kepada kakitangan, Timbalan Pengarah Perancang Bandar dan Desa itu berjaya membawa nama MPK sehingga ke peringkat antarabangsa melalui beberapa projek inovasi.

Katanya, sepanjang berkhidmat hampir 32 tahun, beliau mendapat sokongan dan kerjasama erat daripada kakitangan serta pihak pengurusan MPK sehingga memberi hasil cukup baik terhadap jabatan terbabit.

“Tahun lalu kami menerima banyak anugerah untuk merealisasikan Klang ke arah bandar rendah karbon, bandar selamat dan ‘smart city’.

“Tanpa bantuan dan kerjasama daripada mereka serta pergerakan secara berpasukan, kita tidak akan dapat kejayaan seperti ini.

“Paling penting seronok bekerja dalam organisasi dan galakan daripada peringkat pengurusan yang menyokong untuk memperkenalkan MPK bukan sahaja di kaca mata negara, bahkan antarabangsa,” katanya.

Kedua-dua mereka membawa pulang sijil dan cenderahati.


Pengarang :