SASTERA

Disiplin kritikan dan sikap penulis

Oleh Roslan Jomel

 Setelah membaca esei Dicari: Krtik(us) Sastra Indonesia dari buku Politik Sastera karangan Saut Situmorang, jelaslah ada perbezaan besar memisahkan antara kritikan sastera dengan tulisan-tulisan apresiasi dan ulasan. Secara ringkas, itulah batasan takrifannya. Tidak semua penulis membicarakan karya sastera di akhbar atau majalah dianggap kritikus sastera berautentik. Seorang pengarang fiksyen menulis tentang sepak terajang permasalahan dunia sastera dalam esei, tidak semestinya karangan yang dihasilkan itu diistilahkan sebagai kritikan. Bahkan ruangan Kritikan Cerpen dalam majalah seumpama Dewan Sastera belumlah layak sepenuhnya dijadikan contoh kritikan sempurna sebagai rujukan.

Proses mendapat pengiktirafan sebagai kritikawan sastera diraih daripada rejim pembelajaran bawah seliaan tenaga pengajar di universiti. Perakuan itu tidak didapatkan melalui kemenangan-kemenangan dari sayembara penulisan karya kreatif. Mahir menguasai teori-teori sahaja sahaja belum memadai. Dalam esei, Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia, SN Muhammad Haji Salleh menyatakan, “seorang kritikawan yang baik, adalah seorang yang benar-benar teliti dan menyeluruh dalam menurunkan kesannya terhadap sesebuah karya, daripada seluruh peribadinya: akal, emosi, pengetahuan dan sebagainya, kerana sesebuah karya sastera itu adalah hasil daripada keseluruhan manusia penulis, penuh dengan kompleksiti dan paradoks yang terdapat dalam hidup tiap-tiap manusia.”

Sasterawan-sasterawan besar mampu menulis karya yang luar biasa tanpa menerima pendidikan tertinggi. Manakala gelaran pengkritik sastera bertauliah tidak dipetik di jalanan. Ia diperoleh secara akademik dengan latihan sistematik dan mengambil masa untuk memantapkan anatomi bidang berkaitan. Maka, tulisan yang kononnya berpaut pada bayangan kata hati, perasaan dan tanggapan melulu semata-mata, tidak dinilai dalam disiplin kritikan. Saut Situmorang mendefinisikan dalam bahasa mudah, “Arti istilah “kritik(us)” tidak dianggap main-main karena adanya pertanggungjawaban profesional diharapkan dari para “kritikus” yang menulis ‘kritik” seni, karena “kritikus” adalah sebuah “profesi” sama seperti pengacara atau dokter gigi.” Ada beban intelektual di situ.

Sementara tulisan-tulisan yang mengupas karya sastera dihasilkan oleh pengarang-pengarang berkaliber malahan disepakati lebih menarik dan penuh kreativiti. Kadang-kadang kita menemui tulisan-tulisan demikian dalam majalah atau buku dan berasa terlibat secara intim kerana keahlian penulisnya menurunkan pelbagai elemen manusiawi ketika menggeledah isi karya. Pembaca dibawa menyelami pergolakan batin watak-wataknya dengan begitu organik sekali. Karya sastera adalah hasil daripada reaksi kepekaan seseorang penulis terhadap isu-isu yang menyentuh jiwa nuraninya. Berbanding kajian ilmiah yang ditekuni berpandukan dengan segala jenis teori sastera dari langit namun sangat kaku dan robotik, akhirnya terasa membosankan kerana tiada sentuhan imaginasi dan tautan emosinya kepada pembaca. Itulah ironinya.

Dalam Kata Penghantar untuk Siri Wacana Persuratan Baru Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, terbitan Wadi al-Irfan Klasika Media, 2019, Mohd Affandi Hassan dengan nada tanpa berlapis menyatakan keraguan-keraguannya berhubung kaedah penganugerahan gelaran Sasterawan Negara. Beliau menilai dan mempersoal kelayakan kualiti para penulis Malaysia oleh barisan juri yang bertanggungjawab mengangkat darjat kerja kepengarangan.

Semenjak tahun 1981 lagi, saya telah menolak “projek Sasterawan Negara” sebagai tidak perlu dan bertentangan dengan perkembangan penulisan kreatif yang bertunjangkan ilmu yang benar. Pertama sekali, belum ada lagi seorang tokoh kreatif dalam bidang penulisan yang layak digelar pujangga, yang akan melayakkannya disanjung sebagai “Sasterawan Negara”. Keduanya, karya para Sasterawan Negara tidak memenuhi konsep karya kreatif bermutu hatta dinilai dari perspektif barat sekali pun. Ketiga, ukuran yang digunakan untuk membuat pilihan tidak jelas dan tidak tepat, serta cara penerapannya adalah salah.”

Persoalan besar sekarang adalah bagaimana seseorang penulis sama ada baharu atau sudah ternama berhadapan dengan pengkritik sastera neutral? Adakah keegoannya sebagai penulis hebat terlucut oleh teguran yang mengesani beberapa kelemahan dalam karya-karya mereka? Mengapa sebahagian penulis tidak boleh berlapang dada dengan kritikan atau ulasan yang tidak menyenangkan hati mereka? Atau mereka hanya gembira dan bersetuju apabila tulisan ke atas karya mereka dilimpahi kata-kata pujian waima palsu? Jika hal itu berlanjutan, secara psikologinya, naskhah kritikan sastera kita tidak akan mematangkan sikap penulis.

Beberapa nama besar dalam bidang penulisan ketara sungguh emosional apabila dihadapkan dengan pandangan berbeza ketika karya kreatif mereka dikupas. Sebahagian penulis demikian lebih ghairah agar karya kiriman mereka segera disiarkan. Sedangkan Sasterawan Negara pun masih dipersoalkan oleh Mohd Affandi Hassan. Gelaran itu bukan imuniti istimewa. Soal setuju atau tidak, perkara lain. Sepatutnya bidang penulisan karya kreatif dan kritikan beriringan dan saling sokong-menyokong secara sihat. Bayangkan sekian lama karya-karya mereka dibentangkan dalam kertas kerja di dewan seminar gah dengan pelbagai teori canggih. Tiba-tiba beberapa buah tulisan mendedahkan sudut-sudut negatif yang segan diselongkar para pembentang kertas kerja sebelum ini mengganggu kredibiliti nama mereka. Jangan dilupakan, kadang-kadang penulisan seseorang mula merosot akibat faktor usia dan tenaga kreativiti yang semakin melemah. Itu lumrah.

Apa diinginkan oleh para penulis sebegitu ialah kritikan dan ulasan yang hanya menaikkan nama dan reputasi peribadi masing-masing. Bukannya untuk memajukan standard kesusasteraan itu sendiri. Mereka telah melepaskan diri daripada tanggungjawab terpenting sebaliknya lebih bernafsu narsisisme. Saya keliru dengan pemikiran sebegitu yang tertanam dalam mentaliti penulis berpengalaman. Apa tujuan sebenar mereka berkarya? Menulis sebagai ikhtiar menambah sumber pendapatan sampingan? Teruskanlah selagi boleh. Menyedihkan, pada masa kini, dengan sayembara demi sayembara dianjurkan, sukar untuk kita mencari seniman berjiwa besar dan sofistikated akalnya.


Pengarang :