NASIONAL

Diskaun cukai jalan 50 peratus galak guna kenderaan hibrid

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kerajaan sentiasa menggalakkan penggunaan kenderaan berteknologi hijau dengan menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk pengurangan cukai jalan 50 peratus bagi kenderaan jenis elektrik dan ‘hybrid plug in charging’, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar.

“Kementerian juga turut mewujudkan sebuah badan khas yang dinamakan ‘Kelulusan Jenis Kenderaan’ yang berfungsi untuk mengenal pasti dan meluluskan kenderaan teknologi hijau terutamanya lori dan bas, bagi mengurangkan penggunaan kenderaan berkarbon,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Yaakob Sapari yang bertanyakan berkenaan tindakan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan teknologi hijau.

Menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairuddin Samad pula berkenaan jumlah kedua-dua kenderaan itu yang berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan, Kamaruddin berkata sebanyak 5,403 kereta elektrik dan 46,981 kereta jenis ‘hybrid plug in charging’ berdaftar setakat 31 Mac tahun ini.

“Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi bagi kereta elektrik berdaftar dengan jumlah 2,791 buah, manakala Wilayah Persekutuan pula mencatat jumlah tertinggi kereta jenis hibrid berdaftar dengan jumlah 25,360 buah,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :