TOKYO, 7 Nov — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun hari ini. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA TOKYO, Nov 7 — Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad during a press conference with Malaysian journalists after ending of his three-day working visit to Japan, today. — fotoBERNAMA (2018) COPYRIGHT RESERVED?
NASIONAL

Dr Mahathir: Projek Bandar Malaysia diteruskan semula

KUALA LUMPUR, 19 APR: Kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion selepas ia diberhentikan secara tiba-tiba pada Mei 2017, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan semasa mesyuarat Kabinet pada 17 April dan IWH-CREC Sdn Bhd, konsortium Malaysia-China, pemaju induk bagi projek itu akan meneruskan kerja-kerja di Bandar Malaysia.

Dr Mahathir berkata, Bandar Malaysia akan memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia dan berfungsi sebagai hab global bagi menarik lebih banyak firma kewangan, teknologi dan keusahawan global yang mempunyai impak tinggi.

“Ia akan menarik institusi kewangan antarabangsa utama, syarikat multinasional dan syarikat Fortune 500 untuk menempatkan ibu pejabat serantau mereka di Bandar Malaysia. Selain itu, gergasi teknologi seperti Alibaba dan Huawei juga menunjukkan minat untuk membuka pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mereka,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Projek itu, katanya, bakal membawa kesan yang amat besar kepada pembangunan bandar bagi Malaysia di samping menarik pelaburan langsung asing.

“Kami (pada awalnya) beranggapan ia diberikan sepenuhnya kepada syarikat China. Apabila dilakukan siasatan, syarikat yang menjalankan kerja awal bagi Bandar Malaysia sebenarnya bukan syarikat China,” katanya.

Dr Mahathir berkata, konsortium IWH-CREC yang memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia, sebenarnya adalah sebuah syarikat Malaysia di mana kerajaan Malaysia memegang 40 peratus pegangan, manakala syarikat China hanya 24 peratus dan baki selebihnya milik syarikat-syarikat asing.

“Boleh dikatakan ia adalah syarikat kerajaan. Disebabkan itu kami mengubah pendirian kami, dan kami mahu mengembalikan semula Bandar Malaysia kepada syarikat yang pertama memenangi bidaan (IWH-CREC),” katanya.

Dr Mahathir berkata, semasa kerajaan menamatkan kontrak IWH-CREC, ia membayar balik deposit berjumlah kira-kira RM800 juta kepada konsortium itu.

“Sekarang mereka perlu membayar balik kepada kerajaan.

“Kerajaan menyambut baik komitmen oleh IWH-CREC yang membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta selain jumlah deposit asal RM741 juta, yang akan dibayar dalam masa 60 hari daripada tarikh kerajaan meneruskan semula secara rasmi projek itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, rancangan asal projek tersebut juga telah diubah dengan memasukkan pembangunan 10,000 unit rumah mampu milik, penyertaan Bumiputera, dan memberi keutamaan kepada penggunaan kandungan tempatan dalam proses pembinaan.

Ini, katanya, akan memastikan pembangunan tersebut berpaksikan rakyat dan menambahkan lagi nilai hakiki kepada ekonomi.

“Langkah-langkah ini tidak dinafikan akan menambahkan lagi nilai kepada ekonomi menerusi pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan permintaan runcit dan institusi bagi ruang komersial dan kediaman, menggerakkan rantaian nilai perusahaan kecil dan sederhana dan merangsang permintaan terhadap bahan binaan buatan Malaysia, teknologi dan tenaga kerja tempatan dalam memacu pertumbuhan bandar lestari,” katanya.

Perdana Menteri berkata, projek Laluan Rel Pantai Timur dan Bandar Malaysia perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala jangka panjang antara Malaysia dan China, di samping memastikan projek sedemikian menambah nilai ekonomi yang maksimum kepada negara.

Menurutnya, kedua-dua projek utama ini juga akan menjadi penyumbang utama kepada Inisiatif Belt and Road yang Malaysia berharap dapat memanfaatkan kesan bergandanya sepanjang rantaian nilai.

Dr Mahathir juga memberi amaran kepada mereka yang cuba untuk mengambil kesempatan daripada projek-projek itu.

“Ingin ditekankan bahawa prinsip integriti, pertanggungjawapan dan ketelusan akan tetap diberi keutamaan pada bila-bila masa. Kerajaan tidak akan bertoleransi dengan sebarang bentuk rasuah atau janji niaga yang tidak jujur.

“Pendekatan ini akan menghalang ketirisan, urus niaga yang dipersoalkan dan penyalahgunaan kuasa dan ia akan membawa kepada penjimatan besar kepada kerajaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :