PBTSELANGOR

Dua beradik terima anugerah perkhidmatan cemerlang MPSJ

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 9 APR: Dua pasangan adik beradik berjaya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Mereka ialah Penolong Akauntan Jabatan Hasil, Rosmawati Ahmad dan Pembantu Tadbir di Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan, Rozaira Ahmad.

Rosmawati sebagai kakak berkata, dia tidak menjangka akan menerima anugerah berkenaan bersama adiknya, kali ini.

Katanya, ia adalah anugerah kali kedua yang diterimanya selepas 16 tahun berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Saya menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Yang Dipertua, Noraini Roslan dan ketua atas pengiktirafan diberikan.

“Pada masa sama, saya akan mempertingkatkan kualiti kerja dan memberi perkhidmatan terbaik kepada MPSJ,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, adiknya, Rozaira berkata, persekitaran kerja yang baik serta kerjasama antara rakan sekerja adalah faktor kejayaan beliau dalam menerima anugerah berkenaan.

“Pada saya, kunci utama kejayaan di alam pekerjaan adalah sikap disiplin tinggi serta sentiasa menunjukkan komitmen tinggi,” katanya.

Rozaira sebelum ini pernah menerima anugerah sama pada 2015.

Kedua-duanya ditemui ketika Majlis Apresiasi Warga Kerja MPSJ di Holiday Villa Hotel dan Conference Centre, di sini, semalam.

Anugerah disampaikan Noraini dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :