NASIONAL

Dua konsep utama jadi teras Food Bank Siswa UM

 

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 9 APR: Dua konsep utama menjadi teras kepada Program Food Bank Siswa Malaysia yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kaedah pertama adalah Food Pantry yang menempatkan makanan kering serta barangan keperluan harian seperti biskut, minuman cereal, sabun, berus gigi dan syampu.

Katanya, kaedah kedua pula adalah Central Kitchen yang akan menyediakan makanan kepada mahasiswa hasil sumbangan bahan mentah daripada pihak penyumbang.

“Untuk Food Pantry pihak universiti siapkan kemudahan ruang, jadi syarikat yang menyumbang akan menempatkan barangan mereka di situ dan dikendalikan oleh persatuan mahasiswa sendiri.

“Bagi Central Kitchen, universiti ada logistik berupa dapur, jadi ia akan digunakan untuk memasak dan agihkan makanan pada mahasiswa. Namun menu bergantung kepada bahan mentah yang disumbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Food Bank Siswa Universiti Malaya, di Kompleks Perdana Siswa, di sini.

Central Kitchen terbabit mampu menyediakan makanan untuk 1,000 mahasiswa dalam satu masa dan waktu operasi Food Pantry pula bersifat fleksibel.

Terdahulu, KPDNHEP melancarkan program itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya akan bergerak dengan lebih agresif sekali gus menyasarkan semua universiti awam dilancarkan program itu sebelum hujung tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Food Bank Siswa UM, Muhammad Syafiq Mohd Adabi, 22, berkata mengikut data Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UM lebih 1,000 mahasiswa layak menerima bantuan dan sebahagian daripada mereka makan hanya sehari sekali.

“Alhamdulillah, Setakat dua minggu sudah berjalan, sambutan baik dan lebih 100 orang sudah menerima manfaat,” katanya.

Bagi penerima Food Bank Siswa, Mohamad Asyraff Hafiz Md Shukri, 22, pula menzahirkan rasa syukur dengan inisiatif berkebajikan itu.

Katanya, sebelum ini beliau terpaksa menghadkan perbelanjaannya sekitar RM10 sehari kerana kekangan kewangan.

“Ibu saya seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai pengasuh, pendapatan bulanan hanya RM500. Abang saya juga sedang belajar.

“Jadi saya rasa syukur kerana menjadi penerima bantuan ini, dan harap ia akan berterusan. Ramai lagi sebenarnya mahasiswa yang susah, malah lebih susah daripada saya,” kata mahasiswa tahun tiga jurusan Perakaunan itu.

 


Pengarang :