NASIONAL

Dua warga asing maut dilanggar komuter

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Dua lelaki dipercayai warga asing maut dipercayai dilanggar tren komuter berhampiran laluan Sungai Buloh-Kepong, di sini petang semalam.

Dalam kejadian 6.03 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai warganegara Myanmar berusia lingkungan 30-an difahamkan menceroboh laluan komuter di Km 371.7 sebagai jalan pintas untuk ke kawasan berhampiran.

Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), komuter yang dalam perjalanan ke Stesen Kepong dari Stesen Sungai Buloh itu membawa 30 orang penumpang ketika kejadian.

Kenyataan itu menyebut pemandu komuter memberhentikan tren sejurus menyedari kelibat mangsa yang terpelanting di kedua-dua bahu landasan.

Susulan itu, pihak polis dimaklumkan berhubung kejadian dan tiba di lokasi kejadian sebaik menerima laporan terbabit.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

Pihak KTMB juga menyediakan komuter gantian bagi membolehkan semua penumpang menyambung perjalanan mereka. -BERNAMA


Pengarang :