SELANGOR

e-Borong tawar barang berjenama, harga murah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 24 APRIL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan portal e-Borong (www.eborong.com.my), iaitu perkhidmatan membeli-belah dengan harga rendah secara dalam talian.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan kerjasama Syarikat Best Marketing & Distribution Sdn Bhd itu adalah inisiatif pembangunan usahawan B40 bagi menjana pendapatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, portal berkenaan membantu usahawan menikmati pelbagai barangan berjenama yang halal selain bermutu, pada harga lebih murah dengan tawaran perkhidmatan secara percuma.

“Pembangunan portal ini bertujuan membantu peniaga atau usahawan khusus di Lembah Klang untuk membuat pesanan dan pembelian barangan secara harga borong sehingga hampir 1,000 jenis barangan asas melalui dalam talian.

“Program ini diharap dapat membantu meringankan kos modal awalan, sekali gus meningkatkan jualan dan pendapatan peniaga,” katanya.

Terdahulu, program berkenaan disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, sempena Karnival Seminar Bazar Ramadan MPSJ 2019, di Dewan Serbaguna MPSJ, di sini, semalam.

Selain dijayakan dengan pembabitan Syarikat Best Marketing & Distributor Sdn Bhd melalui tajaan produk dan barangan bernilai RM90,000, karnival itu turut mendapat penajaan rakan agensi lain seperti Lembaga Zakat Selangor, MyNIC, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Boost serta Small Medium Enterprise Development Bank Malaysa Berhad.

Program itu bertujuan memberi penerangan kepada peniaga berkaitan peraturan yang perlu dipatuhi peniaga bazar Ramadan serta mengumumkan dasar terbaharu Pihak Berkuasa Tempatan terbabit.


Pengarang :