GLOBAL

ECRL disambung semula kukuh hubungan Malaysia-China

DEZHOU CITY, (Shandong, China), 14 APR: Penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta meningkatkan lagi hubungan ekonomi sedia ada, kata Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan China kerana memahami keperluan dan cabaran kewangan yang dihadapi Malaysia apabila bersetuju merundingkan semula projek tersebut.

“Selepas beberapa bulan mengadakan rundingan, kerajaan China memahami keadaan itu dan juga disebabkan oleh hubungan diplomatik kukuh yang telah terjalin antara China dan Malaysia 45 tahun lalu sejak 1974.

“Selain itu, dalam keadaan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kita juga ingin menekankan bahawa kita terus menyokong ekonomi China, yang menjadi rakan pelabur terbesar kita selama 10 tahun berturut-turut, manakala Malaysia pula sebaliknya adalah rakan dagang kedua terbesar China dalam kalangan negara ASEAN,’’ katanya pada majlis pelancaran Blue Horizon Hotel di Qihe, di barat laut wilayah Shandong, China.

Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd memeterai perjanjian tambahan yang membuka jalan bagi menyambung semula projek ECRL.

Kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL kini berkurangan kepada RM44 bilion, penurunan RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Sementara itu, Hotel Blue Horizon yang memulakan pembinaan pada 10 Mac, 2016, dibangunkan oleh syarikat milik Malaysia, Farlim Holding Sdn Bhd dengan pelaburan lebih 600 juta renminbi (1 yuan China=RM0.61).

Hotel lima bintang itu merupakan sebahagian daripada fasa pertama projek ASEAN International Eco-City yang merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :