NASIONAL

ECRL: Kerajaan pertahan hak rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 APR: Keputusan kerajaan menyemak dan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah langkah tepat dalam mempertahankan kepentingan rakyat apabila mampu memberi penjimatan lebih RM21 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hakikat itu membuktikan kepimpinan kerajaan berintegriti, tegas, amalan tadbir urus baik, telus dan bertanggungjawab sekali gus mencegah ketirisan serta kebocoran dalam pengurusan kewangan negara.

Katanya, keputusan kerajaan apabila mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri seperti diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 24 Januari tahun lalu untuk tidak membenarkan pembangunan jajaran ECRL melalui kawasan Permatang Kuartza, Gombak juga adalah langkah tepat.

“Ini bermakna pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi kawasan Permatang Kuartza ‘pure quartz dyke’ dapat dielakkan sekali gus mempertahankan faktor budaya, warisan dan alam sekitar.

“Justeru, jajaran baharu sejauh 640 kilometer berbanding dahulu sejauh 688 kilometer ini berjaya mengurangkan kos daripada RM95.5 juta kepada RM68.7 juta setiap kilometer,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sedia maklum bantahan dan aduan dikemukakan penduduk tempatan memandangkan cadangan jajaran ECRL yang lama akan melalui kawasan hutan simpan di sempadan Selangor dan Pahang, kampung tradisi, kawasan perumahan serta komersial.

Beliau berkata, cadangan itu mengakibatkan kos pembangunan yang lebih tinggi memandangkan keperluan untuk meneroka kawasan hutan serta pengambilan kawasan komersial dan perumahan penduduk yang padat.

“Justeru saya yakin, keputusan kerajaan ini bukan sahaja dapat menjamin pembangunan prasarana sosial yang berkualiti untuk rakyat, bahkan ianya akan memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta membuka pelbagai peluang ekonomi dalam rantaian nilai.

“Selain itu, keazaman kerajaan meneruskan projek ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta meningkatkan kadar keterhubungan (connectivity) logistik dan rakyat,” katanya.


Pengarang :