BERITA UTAMANASIONAL

ECRL: Perjanjian baru elak kena pampasan RM21.78 bilion

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 APR: Perjanjian baru projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia dan China mewujudkan situasi menang-menang bagi Kerajaan Malaysia dan China.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjanjian baru itu juga membolehkan projek itu diteruskan sekali gus mengelakkan negara terpaksa membayar kos pembatalan projek berjumlah RM21.78 bilion.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) berhadapan dengan pilihan sama ada merundingkan semula atau membayar kos penamatan kira-kira RM21.78 bilion, dengan tidak memperolehi apa-apa.

“Oleh itu, kami memilih untuk kembali ke meja rundingan dan meminta lebih banyak lagi kesepakatan yang saksama, di mana keperluan rakyat Malaysia akan menjadi keutamaan.

“Selepas rundingan panjang dan berlarutan di antara Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China, kedua-dua pihak mencapai perjanjian saling menguntungkan dengan perjanjian ECRL yang lebih baik,” katanya pada sidang medianya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Mahathir berkata, projek membabitkan jarak sejauh 640 kilometer itu menelan kos RM44 bilion berbanding perjanjian asal RM65.55 bilon dengan penjimatan sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus.

Perjanjian baru itu turut memutuskan bayaran dibuat berdasarkan kemajuan kerja berbanding sekali bayar seperti dalam perjanjian di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ketika menjawab satu soalan, Mahathir berkata Kerajaan China bersetuju dengan perjanjian baru kerana memahami situasi kewangan negara seperti dijelaskan dalam rundingan.

 


Pengarang :