ECRL: Selangor lega aset berharga negeri selamat | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Nadiah Zamlus

ECRL: Selangor lega aset berharga negeri selamat

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 15 APR : Tindakan Kerajaan Persekutuan melakukan penjajaran semula pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan tidak melibatkan Permatang Kuarza Gombak menerima pujian dari Kerajaan Selangor.


Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menarik nafas lega apabila Kerajaan Persekutuan mendengar bantahan berkenaan sekali gus menyelamatkan aset berharga negeri ini.

Katanya, oleh kerana itulah Kerajaan Negeri kembali menyokong pembinaan terbabit yang mana sebelum ini dibantah keras oleh Selangor.

“Namun rakyat Selangor tetap mendapat manfaatnya apabila pembinaan ECRL ini bermula dari Pelabuhan Klang, tidak apalah di Gombak tiada (ECRL) asalkan kita berjaya menyelamatkan aset alam sekitar yang amat berharga pada Selangor dan rakyatnya.

“Bukan sahaja Permatang Kuarza Gombak, Kerajaan Negeri juga berjaya menyelamatkan perkampungan Orang Asal di Batu 12 Gombak, yang mana turut terjejas sekiranya pembinaan dilakukan di situ,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Debat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2019 di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung pengumuman Kerajaan Persekutuan yang kembali meneruskan pembinaan projek ECRL kepada media.

Pada Julai 2018, Kementerian Kewangan memaklumkan Kerajaan Selangor membantah keras penyiapan landasan rel yang membabitkan Gombak ke Pelabuhan Klang.

Bantahan itu adalah berdasarkan prinsip permohonan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuarza yang terpanjang di dunia.

Menteri Kewangan, Guan Eng turut memberitahu penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu sudah tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Namun pada12 April lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan projek ECRL yang tergantung sejak Julai 2018 disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi fasa pertama dan kedua.

Selain itu, kenyataan itu juga menyebut pengurangan kos asal dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion berjaya dikurangkan setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sepakat memeterai satu perjanjian tambahan.

Difahamkan, wakil khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu – Mentakab – Jelebu – Kuala Kelawang-Bangi/Kajang – Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Malah, jajaran baharu itu turut menyaksikan dua stesen ECRL di Gombak dan Bentong akan dihapuskan selepas ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, beliau percaya jajaran baharu ECRL itu dibuat berdasarkan bantahan Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Asalnya kerana ia membelah banjaran titiwangsa dan sebahagiannya terkena Permatang Kurza Gombak yang merupakan aset berharga rakyat Selangor.

“Kita juga sedang mewartakan tapak itu sebagai Tapak Geopark Kebangsaan, walaupun ia rendah sedikit tarafnya berbanding Tapak Warisan Dunia UNESCO, namun prosesnya tetap memakan masa yang panjang.

“Akhirnya bantahan itu didengar dan ia dimulakan kembali dengan kos yang lebih rendah,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next