SELANGOR

ECRL: Selangor sokong jika elak Permatang Kuarza Gombak

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 12 APR: Kerajaan Negeri akan menyokong pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya ia tidak menggangu jajaran Permatang Kuarza Gombak.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya berharap supaya pembinaan yang akan turut membabitkan beberapa kawasan di Selangor tidak menggangu persekitaran terutamanya tapak warisan dunia di Gombak.

“Ini memandangkan Kerajaan Negeri hendak mendaftarkan Permatang Kuarza Gombak sebagai Tapak Geopark Kebangsaan, sama seperti yang ada di Langkawi.

“Namun kita (kerajaan) akan melihat mungkin ada pelan terbaharu yang boleh disesuaikan mengikut keadaaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bulatan Bandar Saujana Putra di sini, hari ni.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung pengumuman Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri yang kembali meneruskan pembinaan Projek ECRL.

Laporan itu turut memaklumkan kos pembinaan dijangka menelan belanja sebanyak RM44 bilion, berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Namun pada Julai 2018, Kementerian Kewangan memaklumkan Kerajaan Selangor telah membantah keras penyiapan landasan rel yang membabitkan dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Bantahan itu adalah berdasarkan prinsip permohonan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16 kilometer, yang adalah permatang kuarza terpanjang di dunia.

Menteri Kewangan, Guan Eng turut memberitahu penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu sudah tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan kawasan itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya sudahpun menghantar nota berkenaan hal terbabit dan berharap supaya Kerajaan Persekutuan kembali mengadakan perbincangan.

“Kerajan Negeri masih berpandangan jajaran kuarza Gombak ini adalah aset berharga dan ia adalah warisan yang sangat dihargai.

“Saya juga masih belum bertemu dengan menteri yang berkaitan kerana pengumuman baharu sahaja dibuat hari ini,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :