NASIONAL

Ekonomi sukar, kebajikan pelajar tidak dipinggir – Anwar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 APR : Semua pihak perlu sedar bahawa ekonomi negara kini berdepan waktu sukar, namun ia tidak bermakna kebajikan pelajar harus dipinggirkan, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia yang bertajuk ‘Reformasi Institusi’ di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.

“Minggu lalu di Parlimen saya memang menyatakan saya tidak boleh terima berita mahasiswa susah nak dapat makanan kerana sekatan dan kekangan kewangan.

“Saya sebut di Parlimen dan saya minta kerajaan cari pendapatan khas,” katanya.

Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson percaya kerajaan akan membantu sekurang-kurangnya membabitkan keperluan asas siswa, namun ia perlu mengambil kira kewangan negara.

“Menteri Kewangan pun ada laporkan pada saya, namun tidak terjangkau masalah itu sebesar sekarang. Saya tak sangka 1MDB sampai jadi begini, seluruh dunia melahirkan rasa kecewa.

“Bukan maksud mahu tuding jari pada sesiapa tetapi dengan maksud untuk tangani sebaik mungkin,” katanya.

Konvensyen di Dewan Agung Tuanku Canselor itu turut hadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

 


Pengarang :