NASIONAL

Ekspo Dubai 2020: Malaysia sasar raih pelaburan RM10 bilion

PUTRAJAYA, 29 APRIL: Malaysia menyasarkan untuk meraih nilai pelaburan dan perniagaan berpotensi berjumlah RM10 bilion daripada Ekspo Dubai 2020, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata Malaysia turut mahu memperolehi 1,000 minat perniagaan dan memeterai 20 perjanjian perkongsian sepanjang ekspo selamat enam bulan itu.

“RM10 bilion pelaburan berpotensi itu akan terhasil daripada pakatan strategik dalam minat perniagaan dan pemeteraian perjanjian bersama,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Misi Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia, Nailofer Al Bastaki.

Mengenai pelaburan berpotensi, Yeo berkata ia bergantung kepada penyertaan sektor swasta dalam enam kluster terutama tenaga bersih dan industri hijau yang akan menjadi antara tumpuan utama.

Enam kluster itu adalah pertanian lestari dan komoditi utama; tenaga, sains, teknologi dan inovasi serta alam sekitar; kebudayaan dan pelancongan; e-dagang serta teknologi maklumat dan komunikasi; perdagangan dan industri 4.0 selain pendidikan, wanita dan belia.

“Kita mempunyai lebih 200 slot bagi syarikat tempatan dari sektor awam dan swasta untuk mempamerkan barangan dan penyelesaian masing-masing kepada dunia menerusi Ekspo 2020 Dubai,” katanya.

Beliau berkata kira-kira RM60 juta akan dibelanjakan untuk menyertai ekspo ini dengan sebahagian besar kos itu akan ditaja oleh sektor swasta.

“Ekspo Dubai 2020 akan menjadi platform terbesar bagi Malaysia untuk berkongsi visi, aspirasi, budaya dan warisan kita kepada dunia,” katanya.

Yeo juga menggalakkan syarikat Malaysia menyertai tender terbuka bagi mereka bentuk dan konsep ‘Malaysia Pavilion’ bagi ekspo tersebut.

Beliau berkata kempen jenama pavilion tersebut, iaitu ‘Butterfly Effect’ akan dilancarkan tidak lama lagi, dan ia mewakili Malaysia sebagai sebuah negara kecil, namun berupaya memberi kesan ketara di dalam dunia.

“Kita berharap bakat tempatan akan menggunakan kreativiti masing-masing dalam mereka bentuk pavilion tersebut untuk menyerlahkan kehadiran Malaysia di sepanjang ekspo yang akan disertai 190 negara itu,” katanya.

Pada majlis hari ini, Yeo juga menerima janji penajaan tunai pertama RM250,000 daripada Helios Photovoltaic Sdn Bhd, firma Malaysia khusus dalam pembekalan penyelesaian tenaga bersih untuk tempatan dan Asia Tenggara.

Ekspo selama enam bulan itu akan berlangsung dari 20 Oktober 2020 hingga 10 April 2021 di Dubai bertema ‘Connecting Minds, Creating the Future’ dengan dijangkakan menarik 25 juta pengunjung.

-BERNAMA


Pengarang :