EKONOMINASIONAL

Eksport Malaysia dijangka sederhana tahun ini-MIDF Research

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) mengunjurkan pertumbuhan eksport Malaysia menyederhana kepada 3.6 peratus tahun ini daripada 6.7 peratus pada 2018 ditengah-tengah kesan asas yang tinggi dan petunjuk berterusan keputusan pelonggaran utama global.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma penyelidikan itu berkata kadar sederhana itu konsisten dengan harga komoditi global dan jangkaan berlakunya sedikit kelembapan dalam prestasi perniagaan secara keseluruhan, ekoran ketidaktentuan mengenai konflik perdagangan China-Amerika Syarikat (AS).

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini, eksport Malaysia pada Februari 2019 turun 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM66.6 bilion dan import juga merosot 9.4 peratus kepada RM55 .54 bilion.

Bagaimanapun, lebihan dagangan meningkat 22.7 peratus tahun ke tahun kepada RM11.06 bilion pada Februari 2019, menjadikannya bulan lebihan dagangan ke-256 berturut-turut sejak November 1997, kata kementerian itu.

Mengulas mengenainya, MIDF Research berkata kemerosotan eksport untuk bulan itu disebabkan oleh jumlah hari bekerja yang lebih pendek sempena Tahun Baharu Cina yang panjang.

“Semasa cuti umum ini, semua kilang-kilang milik Cina ditutup dengan sebahagian besarnya ditutup satu atau dua minggu sebelum cuti perayaan.

“Memandangkan perayaan itu menyebabkan pengeluaran hanya separuh kapasiti, ia mengganggu rantaian bekalan global yang mengakibatkan prestasi perdagangan yang lemah,” katanya.

Pada suku pertama 2019, firma penyelidikan itu menjangkakan eksport Malaysia menjadi sederhana, sejajar dengan prestasi perdagangan rakan kongsi serantau.

“Berdasarkan prestasi dagangan rakan serantau pada suku pertama 2019, pertumbuhan eksport Vietnam menyederhana kepada 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 6.3 peratus pada suku keempat pada 2018, manakala eksport Korea Selatan menyusut 8.6 peratus tahun lepas, berbeza dengan pertumbuhan 8.1 peratus sebelumnya, eksport Malaysia juga dijangkakan mengalami trend yang sama,” katanya.

“Risiko akibat pertikaian perdagangan China-AS ke atas ekonomi dunia masih kekal kerana kedua-duanya masih belum memuktamadkan perjanjian,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :