PBTSELANGOR

Elak bekal straw plastik kepada pengguna

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 APRIL: Peniaga minuman bazar Ramadan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disaran supaya tidak membekalkan penyedut minuman plastik untuk pengguna sepanjang tempoh perniagaan.

Timbalan Datuk Bandarnya, Rashidi Ruslan berkata, saranan itu selaras hasrat MBSA dalam meneruskan pelaksanaan kempen bazar Ramadan Hijau dan Mampan.

“Kempen ini diperluas kepada larangan penggunaan penyedut minuman plastik bagi mengurangkan sisa plastik selain menguat kuasakan penggantian bungkusan makanan polisterina kepada penggunaan produk berteknologi hijau di bazar Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan iLesen sempena Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan, di Auditorium MBSA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelesenan MBSA, Rosli Bakar dan Pengarah Urusan Unilever Food Solutions (UFS), Nusrat Perveen.

Pada masa sama, Rashidi berharap, kesemua peniaga terbabit mematuhi syarat permit ditetapkan pihaknya iaitu larangan menggunakan bekas polisterina dan mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Perkara ini mungkin dipandang remeh dan dipertikaikan ramai orang, tetapi saya percaya amalan sekecil ini mampu mengubah nasib alam semula jadi yang semakin tenat,” katanya.


Pengarang :