BERITA UTAMA SUKANKINI

Elak monopoli, KBS fasilitator bangun e-sukan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 20 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam membantu merancakkan pembangunan sukan elektronik (e-sukan), di negara ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, usaha itu bagi memastikan tiada kuasa monopoli oleh mana-mana pihak dalam sukan terbabit.

Katanya, kerajaan juga sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pemain industri dan agensi berkaitan.

“Kejayaan e-sukan terletak di bahu penggiat sukan itu sendiri dan kementerian hanya bertindak selaku fasilitator sahaja.

“Jika kita lihat negara lain, e-sukan kian berkembang kerana syarikat swasta berkecimpung dalam bidang berkenaan dan atlet yang sudah lama mendedikasikan masanya untuk e-sukan serta penggiat e-sukan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sukan Belia PPR Peringkat Selangor, di PPR Lembah Subang 2, di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu diminta mengulas dakwaan segelintir pihak yang mendakwa e-sukan adalah milik eksklusif KBS.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, selepas kerajaan memuktamadkan ‘e-sport blueprint’, perkara pertama dilaksanakan ialah menubuhkan badan bertindak yang diwakili pemain industri, bekas atlet termasuk wakil kementerian untuk mencari titik pertemuan mengeluarkan rujukan itu.

“Mereka juga perlu berjumpa dengan ramai pemegang taruh dan berjumpa penggiat dari dalam dan luar Malaysia untuk memuktamadkannya.

“Akhirnya, baru perkara ini dibentang kepada jemaah menteri untuk tatapan umum supaya kita boleh mencari jalan terbaik membangunkan industri e-sukan negara,” katanya.

 


Pengarang :