SELANGOR

Empat aspek penting untuk Selangor kekal di hadapan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 15 APR: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menyeru seluruh penjawat awam berpegang kepada empat aspek penting bagi mengekalkan Selangor di hadapan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Mohd Amin berkata, aspek pertama adalah penjawat awam perlu meningkatkan kerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan serta tidak terkongkong dalam sempadan atau silo masing-masing sekali gus mengelak kerenah birokrasi yang menyukarkan rakyat.

Katanya, kakitangan kerajaan juga perlu sentiasa berusaha mencari inisiatif menambah baik proses kerja dan bukan sekadar berjaya mencapainya, sebaliknya melangkaui jangkaan pemegang taruh dan rakyat.

“Ketiga, kita harus melatih diri menjadi orang yang boleh mengerjakan berbilang tugas (multitasking) dan mempunyai pelbagai kemahiran serta bakat.

“Pembudayaan inovasi, kreativiti dan berfikir di luar kotak perlu digalakkan di setiap jabatan supaya produktiviti kerja ditingkatkan, malah melahirkan modal insan berkualiti.

“Aspek keempat adalah memegang aku janji untuk menyimpan rahsia kerajaan dan menapis segala maklumat yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 bagi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, penjawat awam adalah tulang belakang kepada kerajaan dan tanpa mereka dasar serta aspirasi yang dilihamkan oleh pengurusan eksekutif pasti tidak dapat direalisasikan dengan sempurna.

“Dengan jumlah penduduk mencecah 6.5 juta dan sebagai negeri penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, peranan penjawat awam adalah kritikal dan akan mencerminkan Kerajaan Negeri di mata rakyat jelata,” katanya.

Terdahulu, Seramai 170 penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor (PSUK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2019.

Daripada jumlah berkenaan, 141 penjawat awam adalah penerima APC sementara 29 lagi adalah pesara dan bakal pesara yang berkhidmat melebihi 25 tahun.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.


Pengarang :