NASIONAL

Enam negeri kurang membangun terima peruntukan RM13.2 bilion

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Sebanyak RM13.2 billion diperuntukkan kepada negeri kurang membangun iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tahun ini mengikut Pelan Pelaksanaan 4 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam usaha mengurangkan jurang ekonomi antara negeri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu meningkat 10.6 peratus daripada RM11.9 bilion yang diperuntukkan pada 2018 dan ia merangkumi 24.1 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan Malaysia.

“Dalam tempoh dua tahun terakhir RMK-11 (2016-2020), peruntukan pembangunan kerajaan Persekutuan akan diagihkan dengan keutamaan diberikan kepada enam negeri kurang membangun,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata peruntukan pada 2019 adalah bagi melaksanakan 349 projek baharu dan 1,696 projek sambungan melalui pelbagai kementerian.

“Ketidaksamaan ekonomi antara negeri semakin melebar meskipun terdapat trend peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di semua negeri.

“Ini disebabkan perbezaan aktiviti ekonomi antara negeri. Dalam hal ini Kelantan, Kedah, Perlis dan Sabah yang didominasi sektor pertanian mencatatkan jurang KDNK per kapita terbesar berbanding purata nasional sebanyak RM42,228 pada 2017,” katanya ketika menjawab pertanyaan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) mengenai rancangan kerajaan untuk membantu negeri mundur dan miskin.

Mohamed Azmin berkata Kelantan mencatatkan KDNK per kapita paling rendah iaitu RM13,593 pada 2017, 67.8 peratus di bawah purata nasional.

Secara keseluruhan, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (termasuk WP Putrajaya), Sarawak dan Johor menyumbang 57.5 peratus kapada KDNK nasional.

WP Kuala Lumpur, WP Labuan, Sabah, Melaka, Selangor, Johor dan Pulau Pinang pula masing-masing merekodkan pertumbuhan KDNK lebih tinggi daripada purata nasional pada 5.1 peratus.

– BERNAMA


Pengarang :