NASIONAL

Enam penguat kuasa JPJ Perak dipinjamkan ke Pulau Pinang

GEORGETOWN, 21 APRIL: Enam penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dipinjamkan ke Pulau Pinang, bagi membantu melancarkan operasi jabatan itu, di negeri berkenaan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor berkata, tindakan itu susulan penahanan dan siasatan kes rasuah membabitkan penguat kuasa JPJ di Pulau Pinang yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Operasi di negeri ini berjalan seperti biasa dan anggota penguat kuasa dari JPJ Perak itu dipinjamkan sejak Jumaat lalu,” katanya di sini hari ini.

Semalam, SPRM menahan 22 lagi penguat kuasa dan pegawai JPJ Pulau Pinang, bagi membantu siasatan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori, yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri itu.

Menurut sumber SPRM, penahanan itu merupakan siasatan peringkat kedua selepas peringkat pertama pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, lima daripadanya direman tujuh hari bermula hari ini manakala 17 individu lain dibebaskan dengan jaminan.

Kelmarin, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

Rabu lepas, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 10 malam, Selasa lepas. -BERNAMA


Pengarang :