BERITA UTAMASELANGOR

“Engagement” bersama jabatan penuhi tuntutan KPI

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sesi “engagement” bersama jabatan pentadbiran Kerajaan Negeri (PSUK) akan dijalankan dalam masa terdekat, bagi menentukan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, hal itu kerana pemberian bonus kepada penjawat awam, pada tahun ini adalah berdasarkan pencapaian prestasi.

“Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sudah mengemukakan formula bagaimana pemberian bonus ini akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2019 PSUK, di Dewan Jubli Perak, di sini semalam.

Katanya, beberapa pemberat lain dalam penentuan pemberian bonus juga akan diperkenalkan antaranya daya usaha jabatan membudayakan kreativiti dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan, kejayaan melaksanakan kaedah penjimatan dalam perbelanjaan jabatan serta disiplin setiap warga kerja.

“Jika pelaksanaan pemberian bonus berdasarkan KPI ini dapat dilakukan dengan jayanya, Kerajaan Negeri akan menjadi agensi perkhidmatan awam pertama di Malaysia yang melaksanakannya.

“Ini adalah cabaran yang perlu kita sambut dalam memastikan belanjawan negeri sentiasa berada pada landasan sepatutnya demi masa depan dan kelangsungan pentadbiran mampan,” katanya.


Pengarang :