SELANGOR

EXCO: 90 kilang kitar semula plastik haram berjaya ditutup

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 APRIL: Sebanyak 90 kilang kitar semula sisa plastik haram di Selangor berjaya ditutup sehingga 22 April lalu dengan tujuh kes sudah dijatuhkan hukuman denda.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah membuka 63 kertas siasatan kes sama sebelum didakwa di mahkamah.

“Tujuh kes yang sudah dijatuhkan hukuman membabitkan syarikat dan pengarah urusan dengan jumlah keseluruhan RM439,000,” katanya dalam sidang media di Bangunan Annex hari ini.

Menurutnya, denda maksimum yang dikenakan kepada pesalah hanyalah RM100,000 dan ia dilihat tidak memberikan kesan besar kepada pengusaha kilang haram.

“Saya mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan meminda peruntukan undang-undang sedia ada kerana kos pemuliharaan lebih tinggi apabila kilang ditutup dan mampu mencecah jutaan ringgit.

“Setakat ini tiada hukuman penjara dikenakan kepada pengarah urusan syarikat terlibat,” katanya.

Setakat ini, Sepang dan Kuala Langat merupakan lokasi tumpuan operasi kilang sisa plastik haram malah pengusaha sudah mula memindahkan operasi ke negeri lain.

Loy Sian menjelaskan, Kerajaan Negeri mempunyai tempoh dua bulan untuk menyelesaikan kes kilang sisa plastik haram demi merealisasikan hasrat sifar kilang plastik haram Jun ini.

 

 


Pengarang :