SELANGOR

EXCO: Lebih baik tanam sayur dari ‘membawang’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 APRIL: Suri rumah yang tinggal di luar bandar mahupun bandar digalakkan menanam sayur-sayuran di tanah kosong atau kawasan persekitaran rumah bagi menambah pendapatan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu kerana golongan berkenaan mempunyai masa dan tempat untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan, sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual.

Katanya, walaupun hasilnya tidak banyak, namun ia dapat menjimatkan perbelanjaan dan menambahkan hasil jika dijual.

“Ada sesetengah kawasan memang komunitinya terdidik. Inilah yang suri rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu buat, tidak kira di bandar atau luar bandar.

“Cuma sedihnya, apabila mereka banyak masa tetapi hanya duduk menonton televisyen atau ‘membawang’. Masa yang ada itu lebih baik diusahakan menanam sayur.

“Kami menyokong suri rumah yang dapat melaksanakan inisiatif ini. Banyak yang boleh dilakukan jika memang berminat dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang sempena Hari Bumi 2019, di Kebun Komuniti Lapan Timur Fasa 1, Seksyen 8, di sini.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan generasi muda supaya menanam minat menjalankan aktiviti pertanian.

“Kebanyakan orang muda sibuk menguruskan anak kecil dan kerjaya. Mereka menggunakan hujung minggu untuk mengemas rumah atau bersiar-siar.

“Orang muda melakukan aktiviti rekreasi di pusat membeli-belah, saya sarankan daripada menghabiskan duit di situ, lebih baik berkebun dapat juga menambah pendapatan,” katanya.

 


Pengarang :