SELANGOR

EXCO: Pemeriksaan bangunan secara berkala termaktub dalam akta

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 29 APRIL: Pemeriksaan bangunan secara berkala setiap 10 tahun perlu dijalankan pemilik bangunan kerana ia termaktub dalam akta, kata Haniza Mohamed Talha.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar itu berkata, perkara terbabit sudah dinyatakan secara jelas di dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada Seksyen 85A.

Katanya, menurut akta terbabit, pemilik bangunan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu mendapatkan seorang jurutera profesional bagi membuat siasatan terhadap keadaan bangunan mereka.

“Akta ini sudah ada tetapi mungkin tidak dilaksana, jadi bila sudah jadi begini, saya fikir ia perlu kembali dikuat kuasakan.

“Setiap pemilik bangunan, JMB dan MC perlu sedar bahawa akta itu memerlukan mereka membuat pemeriksaan bangunan selepas 10 tahun bermula sejak serah kunci serta kemudian 10 tahun dan berikutnya.

“Jadi, melalui laporan pemeriksaan jurutera terhadap bangunan mereka, maka baik pulih atau pembaikan kerosakan boleh dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melawat Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan serius, di sini.

Jumaat lalu, dilaporkan 37 keluarga yang tinggal di bangunan terbabit terpaksa dipindahkan ekoran terdapat rekahan ketara yang dibimbangi menggugat keselamatan penduduk.

Sehingga kini, seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2.


Pengarang :