SUKANKINI

F:30 tidak gagal, masih terlalu awal untuk kritik

PETALING JAYA, 4 APR: Kegagalan skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 2020 di Thailand tidak boleh dianggap sebagai kegagalan peta hala tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), F:30.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kejayaan pelaksanaan F:30 FAM tidak boleh diukur daripada satu pertandingan sahaja kerana ia meliputi banyak aspek lain yang perlu diberikan tumpuan oleh badan induk bola sepak itu.

“Jangan kata F:30 gagal, sebaliknya masih terlalu awal untuk mengkritik hanya berdasarkan satu keputusan sahaja. Memang kita tidak mencapai 100 peratus sasaran untuk fasa pertama, tetapi saya boleh katakan FAM telah mencapai lebih 80 peratus misi yang ditetapkan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat laporan pertama F:30 kepada wakil media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Ramai peminat bola sepak tempatan mula mempertikai sasaran F:30 susulan kegagalan skuad B-22 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 2020 di Bangkok, tahun depan, selepas menduduki tangga kedua kumpulan J pusingan kelayakan di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Keputusan itu turut menafikan peluang Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 memandangkan pusingan kelayakan itu turut dikira sebagai salah satu medan kelayakan ke Tokyo.

Untuk rekod, F:30 dilancarkan FAM pada 31 Oktober lalu dan dibahagikan kepada tiga peringkat Pelan Strategik.

Pelan strategik pertama dari 2019-2022 adalah untuk membentuk teras asas, pelan strategik kedua (2023-2026) untuk menguasai Asia, manakala pelan strategik ketiga dari 2027-2030 dan Pelan Strategik 3 (2027-2030) untuk menguasai peringkat dunia.

– BERNAMA


Pengarang :