BERITA UTAMANASIONAL

FAMA sasar jualan terus dari ladang jana RM3 juta

KUANTAN, 6 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai hasil Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) 2019 sebanyak RM3 juta daripada 400 program yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perolehan JTDL sebanyak RM3.3 juta menerusi pelaksanaan 488 program yang melibatkan 819 peserta tahun lalu.

“Program ini membolehkan pengguna membeli hasil tanaman yang segar dan berkualiti kerana dibawa terus dari ladang.

“Peserta juga boleh menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna iaitu antara lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Promosi JTDL Peringkat Pahang di sini, hari ini.

Program selama empat hari bermula hari ini, disertai 20 peserta dari Pahang, Terengganu dan Johor.

Ahmad berkata program jelajah promosi produk segar pertanian di bawah Program Ladang Kontrak juga akan diperluaskan lagi ke lapan buah pasar raya besar di seluruh negara.

“Ia bagi menyediakan outlet pasaran alternatif kepada setiap peserta ladang kontrak yang dilihat menepati trend membeli belah masa kini iaitu orang ramai tidak hanya perlu ke pasar awam untuk membeli sayur atau buah-buahan.

“Produk tanaman itu sudah boleh didapati dengan mudah di pasar raya yang menjadi lokasi pilihan kerana lebih selesa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan 2755 outlet runcit FAMA di seluruh negara mencatat pendapatan sebanyak RM2.9 bilion tahun lalu.

— BERNAMA


Pengarang :