SUKANKINI

FAS lancar #SSACarpool, galak penyokong kongsi kenderaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 APR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil inisiatif melancarkan kempen #SSACarpool sebagai mekanisme menggalakkan lebih ramai penyokong The Red Giants berkongsi kenderaan ke Stadium Shah Alam.

Menerusi entri terbaharu di Facebook, FAS memaklumkan, pihaknya mendengar keluhan ramai penyokong gergasi merah itu yang mengalami kesukaran mendapatkan kenderaan ke stadium berkenaan.

“Cara menjayakan kempen ini adalah menggunakan tanda pagar #SSACarpool apabila anda mencari rakan-rakan baru dari kawasan yang sama yang ingin ke Stadium Shah Alam sewaktu hari perlawanan.

“Penumpang yang ingin mencari kenderaan untuk berkongsi juga boleh melakukan pencarian di media sosial dengan menggunakan tanda pagar ini, contohnya #SSACarpool Sabak Bernam. Gerak pukul 5 petang. Pickup point/Drop off: SK Sabak Bernam. 2 kekosongan penumpang,” tulis kenyataan itu.

FAS berharap inisiatif itu bukan sahaja dapat membawa lebih ramai penyokong ke stadium, malahan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan parkir, lebih menjimatkan mesra alam sekitar, selain berjumpa dengan rakan baru.

Status dimuat naik itu menerima sebanyak 236 pelbagai tanda, 34 komen dan 17 perkongsian.

Seorang pengendali Facebook menggunakan nama Anis Skrtel menyifatkan pendekatan FAS sebagai satu perubahan amat baik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Good move…Lagi satu please makesure every game ada polis trafik jaga jalan please especially kat trafic light lama tuuu,” tulisnya.

Sementara itu, Ghazali Ahmad teruja dengan inisiatif berkenaan, selain berharap kempen seumpama itu turut dijalankan di Kuala Lumpur.

“Ini macam barulah best!! Jangan lupa buat sekitar yang tinggal di KL juga!! #MKLK#AkuRedGiants,” tulisnya.


Pengarang :