SUKANKINI

FAS School Outreach dorong kanak-kanak minat bola sepak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memperkenalkan Program FAS School Outreach kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sebagai pendekatan menyemai minat golongan terbabit untuk terus menyokong bola sepak tempatan.

FAS melalui kenyataan di laman sesawangnya berkata, pihaknya akan ke sekolah rendah terpilih di seluruh Selangor pada setiap minggu mengadakan perlawanan ‘home’ selain aktiviti bersama pelajar berkenaan.

Katanya, antara sekolah rendah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naga, SK Kampung Johan Setia, SK Meru 2, SK Sungai Binjai, SK Bukit Kapar, SK Meru, SK (L) Bukit Bintang, SK La Salle Petaling Jaya, SK Petaling Jaya dan SK Kampung Tunku.

“Program ini sudah bermula sejak Mac lalu sebelum perlawanan Selangor menentang JDT, malahan sambutan diterima adalah sangat menggalakkan.

“Setiap murid akan diberikan cenderahati menarik daripada FAS seperti poster pemain dan dua tiket perlawanan untuk minggu berkenaan, selain berpeluang beramah mesra dengan pemain Selangor yang hadir untuk FAS School Outreach Program itu,” katanya.

FAS memaklumkan, program seumpama itu diharap dapat memupuk rasa cinta kepada bola sepak Malaysia, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan menerapkan semangat untuk turun menyokong pasukan kegemaran mereka di stadium.

Sehubungan itu, jika terdapat sekolah yang berminat untuk menyertai program berkenaan, pihak pengurusan sekolah boleh mengirimkan e-mel kepada kami di: [email protected]


Pengarang :