KUALA LUMPUR, 10 April — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas membentangkannya di Parlimen hari ini. Kertas Putih itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

FELDA: Kedurjanaan pentadbiran lalu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Pembentangan Kertas Putih dalam isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bukan sekadar mendedahkan kepincangan dan ‘kedurjanaan’ urus tadbir pentadbiran lalu.

Sebaliknya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia mencerangkinkan hala tuju dan kelestarian masa hadapan warga peneroka.

Katanya, istilah ‘kedurjanaan’ itu walaupun berat untuk digunakan namun beliau tidak mempunyai pilihan melainkan perlu tegas dan berani tampil ke hadapan membela nasib peneroka.

“Apa yang berlaku sebelum ini, kita melihat bagaimana keupayaan YM Tan Sri Taib Andak dan YM Raja Alias Raja Mohd Ali yang mengangkat FELDA sebagai agensi cukup gemilang.

“Sebelum penyenaraian Felda Global Venture (FGV), FELDA memperoleh keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.2 bilion.

“Namun, sebaik sahaja 400,000 hektar tanah komersial diserahkan kepada FGV, ia hanya memperolehi RM400 juta setahun sedangkan ia memerlukan RM800 juta setahun bagi menguruskan ladang.

“Ini satu perkara pengkhianatan dilakukan pengurusan FELDA yang lama, tidak telus, tidak amanah dan tidak jujur, mengkhianati dukungan serta sandaran diberikan peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Mohamed Azmin berkata, istilah itu juga kuat diperkatakan apabila melihat beberapa urusniaga agensi itu yang membeli aset pada harga lebih tinggi dari pasaran.

Katanya, hasil tindakan ‘kedurjanaan’ itu menyebabkan FELDA menanggung hutang yang membebankan.

“Sebagai contoh, FELDA dipaksa membeli sebuah syarikat milik tokoh usahawan dari Indonesia pada kadar 16 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran bernilai RM2.3 bilion.

“Begitu juga pembelian sebuah hotel di London, harga diberi sebanyak RM331 juta sedangkan harga pasaran lebih kurang RM100 juta sahaja.

“Ini bukan soal jenayah komersial tetapi ini ialah kedurjanaan urus tadbir FELDA yang menyebabkan hutang dan liabiliti ditanggung hari ini amat membebankan,” katanya.


Pengarang :