NASIONAL

FGV, PLS Plantation kerjasama bangun ladang tanaman kontan

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Susulan perjanjian dasar induk (HoA), FGV Holdings Bhd (FGV) dan PLS Plantation Bhd (PLS) kini meneroka potensi menjalin usaha sama (JV) bagi pembangunan ladang tanaman kontan, terutama durian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada strategi FGV untuk memanfaatkan penggunaan kawasan yang tidak dibangunkan, yang tidak sesuai untuk kelapa sawit, dan meneroka aliran pendapatan tambahan dengan meningkatkan peratusan tanaman kontan.

Beliau berkata sektor perniagaan logistik dan sokongan FGV juga akan memperoleh manfaat daripada perkongsian itu kerana ia menawarkan rangkaian logistik yang boleh dipercayai menerusi kerjasama strategik.

“Menerusi HoA ini, FGV berharap untuk meneroka peluang bagi kedua-dua pihak untuk menjlain usaha sama, sejajar cadangan Program Ladang Durian Negara yang dimulakan oleh PLS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

HoA itu ditandatangani sempena Forum Jalur dan Jalan di Beijing, China.

Pada Ogos tahun lepas, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia menandatangani protokol eksport dengan Pentadbiran Am Kastam China untuk eksport durian segar dan beku.

“Terdapat potensi pasaran yang besar bagi industri durian Malaysia, dengan China kini menjadi pengguna terbesar buah dunia,” kata Haris.

PLS, menerusi anak syarikatnya, Dulai Fruits, berjaya menembusi pasaran sepuluh negara, dengan China merupakan pasaran terbesar.

Dulai Fruits mempunyai pengalaman 30 tahun dalam penanaman dan eksport durian.

Haris berkata FGV juga akan memanfaatkan risikan dan rangkaian pasaran PLS untuk mengukuhkan lagi produk dan kedudukan jenamanya di China, sambil menambah, kumpulan itu mengenal pasti lebih 1,398 hektar tanah yang berpotensi untuk penanaman durian komersil berskala besar.

Menurut data perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, eksport durian ke China telah meningkat pada purata 35 peratus setahun, bernilai US$1.1 bilion pada 2017 – jauh lebih tinggi daripada US$243 juta sedekad lepas.

Walaupun Thailand menguasai pasaran, kerajaan Malaysia menyasarkan peningkatan 50 peratus jumlah eksport menjelang 2030, memandangkan industri tempatan mencorakkan semula pasaran global.

“Durian merupakan tanaman kontan yang paling menguntungkan dari perspektif nilai sehektar dan FGV mahu memanfaatkan permintaan dari China ke atas Raja Buah itu.

“Kami yakin usaha ini akan memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan FGV, yang akan meningkatkan nilai para pemegang saham,” kata Haris.

-BERNAMA


Pengarang :