Datuk Hans Issac. Foto BERNAMA
NASIONALSENI

FINAS bakal perkenal KWSP, PERKESO untuk penggiat seni

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melindungi kebajikan penggiat seni bebas.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, skim itu bukan sahaja bakal menjamin masa depan pelakon tetapi juga kru produksi termasuk jurumekap, ‘runner’, pemandu serta penjaga busana.

“FINAS sudah ada kertas kerjanya. Perbincangan untuk mekanisme pelaksanaan caruman akan dibuat bersama kedua-dua badan terbabit. Syarat dan kaedahnya akan diberikan oleh mereka bagi mengaplikasi sistem itu dalam industri seni.

“FINAS juga akan bertemu dengan pihak pengurusan stesen televisyen dan syarikat produksi karyawan bebas ini bekerja. Ada banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijayakan,” katanya kepada pemberita sempena hari pertamanya memasuki pejabat, di FINAS hari ini.

Hans Isaac, berkata sudah tiba masanya untuk industri seni diiktiraf sebagai profesional, justeru dengan adanya kedua-dua skim terbabit, pengiktirafan itu akan dapat direalisasikan.

Katanya, pengenalan skim terbabit adalah satu daripada 15 manifesto yang dirangkanya bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang baru sebulan memegang jawatan itu.

KUALA LUMPUR, 11 April — Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Gerald Hans Isaac (kanan) pada sidang media di Finas hari ini.
Perlantikan itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.
Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan 14 lagi manifesto, dengan berkata, “Saya tidak mahu hanya berjanji, saya mahu jayakan sesuatu pelan itu dahulu, pastikan ia dilaksanakan dan apabila dapat keputusannya nanti, baru saya umumkan.”

Pada masa sama, Hans Isaac memberi jaminan beliau tidak akan bersikap berat sebelah dan memihak kepada kroni atau rakannya dalam memberikan sebarang dana atau geran daripada FINAS untuk produksi filem dan televisyen.

“Jika sesuatu permohonan itu membabitkan konflik kepentingan, saya akan tinggalkan mesyuarat dan biarkan lembaga pengarah membuat keputusan. Jika mereka mendapat geran daripada FINAS berdasarkan merit, tiada siapa boleh persoalkan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ragu dan skeptikal dengan pelantikannya Ahmad Idham, supaya memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan hasil kerja.

“Bagaimanapun, saya menerima maklum balas positif, hebat dan mengagumkan daripada pemain industri berhubung pelantikan saya sebagai pengerusi,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai pengerusi FINAS bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa Isnin lalu bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas Pemangku Pengerusi sejak lebih empat bulan lalu. -BERNAMA


Pengarang :