BERITA UTAMASELANGOR

Flat retak: MB santuni mangsa, hulur bantuan asas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 27 APR: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai yang terjejas susulan keretakan, di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, di sini, petang tadi.

Lawatan itu turut disertai Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Pemimpin negeri itu tiba selepas melakukan tinjauan di flat kos rendah berkenaan yang mula dibina sejak 1985 di bawah pengurusan PKNS.

Pada kunjungan terbabit, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkesempatan menyampaikan bantuan keperluan asas kepada semua mangsa di pusat pemindahan itu termasuk makanan dan minuman.

Terdahulu, pemindahan sementara waktu itu dibuka sehingga penilaian penuh dibuat terhadap unit kediaman mereka.

Sehingga kini, tinjauan SelangorKini mendapati terdapat 20 keluarga masih menginap di sekolah itu, manakala selebihnya membuat keputusan menetap di rumah ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.

Difahamkan, retakan terbaharu turut dikesan sejak awal pagi Jumaat dan dipercayai berpunca akibat hujan menyebabkan struktur tanah di kawasan itu berkemungkinan mendap.

Bagaimanapun ada sebilangan penduduk mendakwa kesan retak itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu namun ia tidak menembusi dinding sebaliknya hanya kelihatan pada permukaan dinding serta lantai saja.

Dalam pada itu, pihak polis mempertingkatkan kawalan keselamatan di flat terbabit bagi memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku di kawasan berkenaan.


Pengarang :