BERITA UTAMASELANGOR

Flat retak: Penghuni bimbang kediaman roboh

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 28 APR: Penghuni Blok F di Flat Taman Keramat Permai masih dalam ketakutan selain resah memikirkan nasib susulan kediaman mereka retah tengah hari, kemarin

Salah seorang mangsa, Hazlin Hayati Ahmad, 46, berkata, dia berasa bimbang sekiranya rumah didiami mereka sejak 10 tahun lalu itu roboh pada bila-bila masa memandangkan masih terdapat banyak dokumen penting dalam rumah berkenaan.

“Kami bimbang sebab takut semua roboh. Dalam rumah masih ada dokumen surat beranak dan barang-barang penting lain geran kereta, geran rumah yang tidak sempat diambil.

“Seandainya ia benar-benar runtuh, tiada apa yang kami boleh buat melainkan hanya mampu berserah dan redha dengan ketentuan,” katanya kepada SelangorKini.

Hazlin yang masih panik dengan kejadian itu berkata, dia sekeluarga berasa sebak apabila dimaklumkan perlu mengosongkan kediaman berkenaan sebelum 12 tengah malam.

Sebagai langkah berjaga-jaga katanya, dia perlu bertindak segera bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku.

“Kami semua kelam kabut untuk ambil semua dokumen penting ditambah pula ibu sedang sakit, jadi masa itu hanya sempat sediakan ubat untuk ibu sahaja.

“Ada keluarga ajak untuk menetap bersama mereka, tetapi dengan keadaan ibu seperti itu dia tidak selesa menumpang. Jadi kami bertekad untuk tinggal di pusat pemindahan ini buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Sabran Kamaruddin, 57, berkata, dia tidak menyangka terjadi di blok berkenaan meskipun flat terbabit sudah lama dibina.

Katanya, dia sekeluarga antara yang terawal diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat sebelum 12 tengah malam.

“Sewaktu kejadian itu memang saya terkejut sebab saya juga sedang sakit. Jadi, saya tidak tahu apa-apa dan secara tiba-tiba diarahkan berpindah.

“Kami sekeluarga yang pertama tiba di sini dan sejurus tiba, pusat pemindahan ini masih kosong. Kira-kira jam 7 petang baru ramai yang mula datang ke sini selepas menerima arahan.

“Lagipun, kami berpuas hati tinggal di sini untuk sementara waktu kerana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menghulurkan makanan dan minuman termasuk keperluan harian,” katanya.

Terdahulu, seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan penemuan keretakan di bangunan itu sejak tengah hari, Jumaat

Namun, tinjauan SelangorKini setakat semalam mendapati terdapat 20 keluarga masih menginap di sekolah itu, manakala selebihnya membuat keputusan menetap di rumah ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni penghuni bangunan terjejas susulan keretakan, di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat.

Pada kunjungan terbabit, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkesempatan menyampaikan bantuan keperluan asas kepada semua mangsa di pusat pemindahan itu termasuk makanan dan minuman.

 

 

 


Pengarang :