PBTSELANGOR

Fokus seimbang pembangunan, persekitaran Kajang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 3 APR: Keseimbangan pembangunan dan persekitaran antara aspek yang akan diberi penumpuan khusus dalam usaha membangunkan beberapa mukim di Kajang, pada masa akan datang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Dato’ Rosli Othman berkata, berdasarkan penelitian dijalankan sebelum ini, masih terdapat beberapa kawasan di sekitar pentadbiran terbabit berpotensi untuk dibangunkan.

“Sesetengah kawasan dilihat sudah mencapai pembangunan yang baik misalnya di mukim Ampang, Cheras dan Bandar Baru Bangi, namun masih ada lokasi yang mungkin boleh dibangunkan lagi seperti Hulu Langat.

“Di daerah Hulu Langat ada beberapa faktor menyebabkan ketidakseimbangan antara pembangunan dan persekitaran misalnya kegiatan pengambilan pasir atau kuari sehingga menjejaskan persekitaran.

“Kita akan pastikan semua kegiatan ini dijalankan secara tersusun bagi memastikan persekitaran bergerak seiring dengan pembangunan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai YDP MPKj, di Lobi Menara MPKj, di sini, hari ini.

Ditanya bentuk penguatkuasaan terhadap individu yang menjalankan kuari secara haram, Rosli berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan berkaitan supaya kegiatan seumpama itu beroperasi secara sah selain mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan pengeluaran kuari dan pasir dapat dijalankan sebaiknya, sekali gus mengurangkan impak pencemaran terhadap alam sekitar.

“Ada sebilangan kilang yang beroperasi secara sah baik daripada syarat tanah mahupun pemilikan permit, namun terdapat kilang beroperasi secara tidak sah yang menjadi penyumbang kepada pencemaran.

“Kita akan laksanakan tindakan penguatkuasaan, tetapi pada masa kita menetapkan arah tuju untuk memastikan kesemua kilang haram beroperasi dengan sah,” katanya.


Pengarang :