Selangorkini
SELANGOR

Formula bantu pembeli rumah dapatkan pembiayaan

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 6 APRIL: Kerajaan Negeri sedang dalam perbincangan akhir dengan beberapa institusi kewangan bagi memudahkan penawaran pinjaman perumahan mampu milik yang lebih realistik dengan anggaran RM1 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, formula menyeluruh sudah disiapkan, namun terdapat beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan dengan pihak terbabit.

“Isu penting dalam pemilikan rumah adalah wang pendahuluan 10 peratus, justeru kita menyediakan formula khusus bagaimana untuk mengekalkan pinjaman 100 peratus.

“Beberapa tahun lalu, kita ada melancarkan dana sel iaitu membantu pembeli menerusi sewa beli,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman, di Bandar Teknologi, di sini.

Amirudin berkata, pihaknya menjangkakan isu pembiayaan berkenaan akan dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Terdahulu, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bekerjasama dengan Maybank yang bersetuju menggunakan kaedah Rent-To-Own (RTO), pada harga asal ketika mula menduduki rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican sebelum ini berkata, bank itu bercadang untuk memperluaskan skim RTO, iaitu program HouzKEY Maybank Islamic, kepada rumah dalam lingkungan harga mampu milik.

“Penyelesaian RTO yang ditawarkan sebahagian inisiatif pengantaraan berasaskan nilai, iaitu memberikan penyelesaian yang berdaya maju dan mampan untuk memiliki rumah serta cara bank untuk menyokong agenda nasional Malaysia dalam pemilikan rumah,” katanya.

Selain itu, bagi 2019, Kerajaan Negeri menetapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memperuntukkan RM50 juta untuk pembelian rumah bagi Skim Smart Sewa.

Skim Smart-Sewa adalah program Kerajaan Negeri yang diwujudkan untuk membantu golongan muda berpendapatan sederhana sehingga RM5,000 menyewa minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Melalui skim itu, penyewa akan dikembalikan 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan bersih.

Sehingga hari ini, sebanyak 842 unit rumah mampu milik dengan kos RM122.8 juta diproses untuk pemilikan oleh LPHS dan syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai ejen pengurusan bagi melancarkan pelaksanaan skim itu.


Pengarang :