NASIONAL

Gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ dasar baharu negara

KOTA BHARU, 26 APRIL: Gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ akan menjadi dasar baharu negara dalam usaha kerajaan membentuk citra baharu Malaysia pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, kertas cadangan berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), pada 14 Mac lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia dijangka akan menjadi antara agenda untuk diluluskan pada mesyuarat kabinet bulan depan dan sebaik diluluskan, ia akan menjadi gagasan masa depan bagi membentuk Malaysia baharu yang perlu disokong semua pihak kerana ia sudah menjadi dasar kerajaan.

“Walaupun cadangan ini belum dibawa ke Kabinet, namun saya sudah menjelajah lima kementerian sebelum ini untuk menjelaskan berkenaan gagasan ini dalam bentuk diskusi bersama menteri dan saya akan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (dalam masa terdekat) untuk memberi penerangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap setiap kementerian dapat membawa konsep berkenaan dalam setiap aktviti yang dianjurkan mereka untuk mencapai sasaran negara rahmat.

Mengulas berkenaan Program Jelajah Kampus ‘Rahmatan Lil Alamin’ itu, Mujahid berkata pihaknya akan mewujudkan satu landasan bagi membolehkan mahasiswa dari Universiti Awam (UA) untuk berkongsi pandangan mereka berhubung perkara semasa.

“Landasan ini akan dibentuk mewakili setiap kampus masing-masing dan mungkin sekali atau dua kali sebulan kita akan berhimpun menerusi sesi perbincangan supaya dapat maklum balas yang bernas,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :