NASIONAL

Galak penyertaan wanita dalam sektor maritim – TPM

KUALA LUMPUR, 11 APR: Malaysia memerlukan komitmen teguh, di samping dasar, strategi serta pelan tindakan khusus bagi memperoleh akses kepada peluang perniagaan dan karier dalam maritim, untuk menggalakkan lagi penyertaan kaum wanita dalam sektor itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, cabaran yang dihadapi kaum wanita dalam sektor maritim amat penting untuk ditangani bukan sahaja di Malaysia, tapi juga di seluruh dunia.

Beliau membayangkan kerja keras yang perlu dilaksanakan sebagai laluan terbaik yang akan dapat mengetengahkan penyertaan wanita dalam sektor maritim.

“Kita juga boleh menarik minat ramai wanita, dengan menampilkan tokoh-tokoh untuk diteladan dalam bidang ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis makan malam sempena Persidangan Serantau berhubung Wanita Dalam Maritim di Asia, yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 April lalu.

Katanya, menerusi persidangan itu sendiri, Malaysia dilihat tidak kurang memiliki tokoh untuk diteladani, daripada penyertaan wanita dalam bidang penguatkuasaan dan urustadbir maritim, industri maritim termasuk perkapalan, pelabuhan, logistik, sektor minyak dan gas, serta pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk undang-undang maritim, kewangan insurans maritim, juru ukur kapal dan sebagainya.

Wan Azizah berkata, Malaysia ketika ini berusaha untuk dilantik kembali sebagai anggota Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dalam kategori C untuk tempoh seterusnya 2020-2021.

“Kami percaya dengan komitmen berterusan kami dalam Majlis ini, akan terus meningkatkan sumbangan kepada kerja-kerja murni IMO.. oleh itu kami amat mengalu-alukan sokongan untuk dilantik semula ke Majlis IMO,” katanya.

Beliau berkata perkapalan adalah komponen dan penyumbang utama dalam ekonomi bukan sahaja kepada Malaysia, tapi juga kepada ekonomi global, di mana dengan jumlah perdagangan menjangkau RM1.88 trilion pada tahun 2018 di Malaysia, 98.4 peratus diangkut menerusi jalan laut.

“Bagaimanapun pembabitan kaum wanita dalam maritim menyumbang kepada hanya dua peratus di seluruh dunia, membentuk satu pertiga daripada jawatan di sektor maritim berasaskan pantai. Jumlah ini melambangkan kehilangan besar peluang buat kaum wanita dalam sektor maritim,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :