SELANGOR

Gangguan air pulih sepenuhnya hari ini – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 APR: Penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur kini mampu menarik nafas lega apabila gangguan air yang melanda enam kawasan sudah pulih sepenuhnya hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau berpuas hati dengan kerja pelaksanaan dijalankan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam menyelesaikan masalah terbabit.

Menjelang semalam katanya, gangguan itu sudah pulih sebanyak 97 hingga 98 peratus.

“Hari ini saya rasa kita dapat awal. Saya juga minta maaf ada yang marah sebab kita bagi awal daripada jangkaan. Mungkin mereka bergurau kerana jangkaan bekalan air pulih sepenuhnya pada 27 April iaitu hari ini.

“Jadi, hari ini saya yakin 100 peratus pulih sepenuhnya. Pendekatan ini sangat bagus kerana kita memberitahu awal dan menjelaskan dengan terperinci.

“Langkah ini juga betul kerana kita jujur dan memberitahu mereka akan berlaku gangguan untuk kerja penambahbaikan, malahan semua boleh terima kecuali ada yang mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Projek Trek Basikal, Smart Bus Stop dan Aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS), di Perkarangan Plaza Perangsang, Seksyen 14, di sini, hari ini.

Semalam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor memaklumkan sehingga jam 6 petang, bekalan air di lima wilayah iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ekoran kerja penambahbaikan sistem agihan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pulih sepenuhnya kecuali wilayah Kuala Lumpur yang masih berada pada tahap pemulihan 98 peratus.

Terdahulu kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur berdepan gangguan itu bermula 24 April lalu.

Masalah itu juga ekoran sistem paip dan kabel elektrik 32 kiloWatt yang memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan letupan sistem dan gangguan tidak terancang.

 


Pengarang :