BERITA UTAMASELANGOR

Gangguan air: Tiga hari paling maksimum

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APRIL: Selangor memberi jaminan tempoh gangguan bekalan air yang dialami penduduk di negeri itu tidak akan melebihi tiga hari.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana penyambungan air di sesetengah kawasan akan dijalankan dalam tempoh kurang daripada 48 jam.

Katanya, jangkaan itu juga berdasarkan lokaliti paling jauh daripada Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

“Lokaliti terjauh adalah Kuala Langat, jadi untuk sampai ke Kuala Langat walaupun hari kedua sudah disambung air, ia mungkin perlu sampai sehingga 76 atau 78 jam.

“Jadi, sebab itu kita letak tiga hari sebagai tempoh terlambat. Jika semua berjalan lancar, satu-satu rumah terakhir akan menerima semula sambungan air itu pada hari ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Seminar Ekonomi Negeri Selangor Dan Majlis ‘Kick Off’ Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Amirudin berkata, gangguan berjadual itu juga susulan kerja penambahbaikan sistem paip dan kabel elektrik di LRA SSP2 yang memerlukan loji ditutup buat sementara waktu.

“Kita mahu menyelenggara kemudahan sedia ada yang sebelum ini tidak dibuat secara berjadual. Jadi, sebab itu ia dibuat dengan kesedaran dan perancangan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air bermula hari ini sehingga 27 April ini.

Gangguan itu membabitkan 577 kawasan di enam daerah di Selangor iaitu Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor termasuk Kuala Lumpur.

Masalah itu juga ekoran sistem paip dan kabel elektrik 32 kiloWatt yang memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan letupan sistem dan gangguan tidak terancang.


Pengarang :