SELANGOR

Garap peluang jadi Selangor Agropreneur

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APRIL: Golongan belia di Selangor disaran menceburi bidang penternakan yang masih rendah di negeri itu, kata Ir Izham Hashim.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, setakat ini hanya 2.8 peratus keperluan bekalan daging diusahakan, di Selangor.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Selangor ketinggalan jauh berbanding negeri lain walaupun bidang itu memiliki peluang luas.

“Sebagai contoh, permintaan daging arnab sangat tinggi untuk dieksport tetapi bekalan kurang.

“Permintaan daging arnab ini tinggi kerana logo halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia, namun masalah baka menjadi faktor tidak ramai yang berminat walaupun haiwan berkenaan mudah dijaga, kurangnya penyakit dan masa yang pendek untuk diternak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Galakan Pasaran Tempatan dan Antarabangsa Agropreneur Selangor 2019, di Wisma PKPS, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sr Ishak Ismail.

Sehubungan itu, Izham berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat negeri dan Persekutuan bagi mengkaji pendekatan terbaik dalam hal itu.

Tahun lalu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pencapaian Selangor dalam bidang pertanian jauh ketinggalan berbanding negeri lain dari segi Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK).

Katanya, pada 2010, sektor itu mencatatkan RM3.9 Bilion (2.2 peratus) dan menurun kepada RM3.5 bilion (1.4 peratus), pada 2016.

Beliau berkata, penurunan terbabit banyak dipengaruhi pertukaran status tanah dari pertanian kepada komersial.

“Dari segi nilai KDNK khusus bagi sub-sektor pertanian makanan pula, ia mencatatkan RM1.39 bilion pada 2010 dan menurun kepada RM1.25 bilion dengan keluasan tanah untuk pertanian makanan hanyalah sekitar 12 peratus sahaja dari jumlah keluasan Selangor.

“Begitu juga tahap sara diri atau Self Sufficient Level (SSL) untuk bekalan makanan, secara puratanya masih berada jauh dari dari segi peratusan.

“Sebagai contoh, bekalan daging masih berada pada kedudukan 3.3 peratus, padi (32 peratus) dan sayuran pada kadar kurang dari 40 peratus tetapi bagi bekalan kelapa dan telur ayam mencapai 100 peratus termasuk bekalan ayam sekitar 90 peratus,” katanya.


Pengarang :