NASIONAL

Gelar bukan Melayu “penumpang”, Tok Mat bermuka-muka

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kenyataan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa masyarakat bukan Melayu hanya menumpang di negara ini menonjolkan dua wajah sebenarnya ketika berhadapan pengundi.

Justeru, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Mohamad perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat khasnya pengundi di Rantau.

“KEADILAN mendesak Mohamad memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menarik balik kata-kata beliau serta pengundi Rantau perlu menterjemahkan sendiri sifat dua wajahnya apabila berhadapan pengundi Melayu dan bukan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Katanya, selain bersifat perkauman, kenyataan Mohamad menuntut supaya pengundi membalas budinya semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan jelas menunjukkan sikap tidak ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

Shamsul berkata, tuntutan ‘mengenang budi’ itu terpaksa dibuat setelah beliau terlepas cakap dengan mendakwa bukan Melayu hanyalah ‘penumpang’ di negara ini ketika berucap di hadapan kelompok Melayu, baru-baru ini.

“KEADILAN melihat tuntutan Mohamad ini sebagai terdesak, angkuh, malah memalukan diri sendiri memandangkan adat Melayu tidak sesekali mengajar bangsanya menuntut supaya dikenang perkara baik yang sudah dilakukan,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu turut menyifatkan perbuatan Mohamad sama seperti mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melontarkan kenyataan “you help me, I help you”, pada pilihanraya umum lalu.

Shamsul berkata, KEADILAN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa sesiapa sahaja yang dilantik memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri haruslah menggalas mandat itu dengan penuh amanah, dedikasi dan rendah diri serta tidak menuntut balasan.

“KEADILAN komited bersama-sama calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram, Menteri Besar Negeri Sembilan serta Kerajaan Negeri bertekad menyelesaikan isu perumahan rakyat mampu milik yang terbengkalai serta tidak dapat diselesaikan kerajaan BN terdahulu,” katanya.


Pengarang :